Thursday, 27 October 2011

Pulang Dengan Senyuman Lepas Sesak Di CAEXPO

Pulang Dengan Senyuman Lepas Sesak Di CAEXPO
Daripada Jeffri Mohd Rafiee

NANNING (China), 26 Okt (Bernama) -- Sesak. Itulah gambaran paling tepat yang diberikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, sehari selepas Ekspo China-Asean 2011 dilancarkan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China Wen Jiabao.

Keadaan tidak berubah sehingga pameran perdagangan yang dianggap antara yang terbesar di China ini ditutup pada Rabu.

Jalan raya menuju ke Pusat Konvensyen and Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC) di mana ekspo ini berlangsung, sesak dengan kenderaan, manakala pusat pameran sesak dengan manusia.

Seorang wanita tempatan pertengahan umur yang ditemui berkata orang ramai yang hendak memasuki pusat pameran perlu membeli tiket berharga 50 yuan untuk masuk sebelum tiga petang dan 30 yuan untuk masuk selepas tiga petang tetapi ia hendaklah dibeli sebelum datang kerana tiada tiket dijual di NICEC.

Bagi beratus peserta dari Malaysia yang sebahagian besarnya datang dengan penerbangan sewa khas terus dari Lapangan terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Selasa minggu lepas, mereka langsung tidak kesah dengan kesesakan itu.

Sepanjang pameran enam hari itu, mereka tidak jemu melayan karenah pengunjung ke gerai mereka di Pavilion Malaysia yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan tidak penat memberikan senyuman paling manis walaupun menghadapi kesukaran berinteraksi dengan penduduk tempatan yang hampir semuanya hanya boleh berbahasa Mandarin.

"Sebenarnya saya datang nak makan angin sambil menemani isteri yang mahu mempromosikan minuman sarang burung walit," kata seorang lelaki yang ditemui di gerai Sari Walit Sdn Bhd yang kemudiannya menghulurkan kad perniagaan dengan nama Zahro Nawawi.

"Ini semua isteri saya punya. Saya cuma tolong sekali-sekala. Tak sangka pula sambutan macam ini. Kalau saya tahu, saya akan bawa lebih banyak," kata beliau yang datang berdua membawa minuman kesihatan sarang burung walit dalam botol buatan sendiri hanya menggunakan bagasi.

Di gerai itu, hanya tiga botol dipamerkan pada satu-satu masa.

"Takut kena serbu," kata pasangan dari Perak itu sambil menuding kelompok gerai yang mempromosikan pelbagai makanan dan serbuk minuman segera dalam bungkusan.

Benar. Di gerai-gerai produk makanan dan minuman, ramai pengusaha tidak menang tangan sehingga terpaksa menggunakan beberapa pembantu dan penterjemah.

Pengasas Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd, Noraini Ahmad, yang juga menyertai CAEXPO buat pertama kali berkata beliau mendapat tahu tentang pameran ini daripada kawan-kawan dan mengakui sambutan daripada pembeli dagangan dan orang ramai amat luar biasa.

"Saya sudah dapat tiga pembeli perdagangan. Satu sudah buat penghantaran, satu sudah buat tempahan belian dan satu lagi sedang bincang tentang harga. Diharap saya dapat masuk ke seluruh China tahun depan," katanya.

Mengenai persaingan daripada pengusaha-pengusaha lain dari Malaysia termasuk yang lebih besar seperti Perfect Food Manufacturing Sdn Bhd yang terkenal dengan Julie's Biscuits, beliau berkata: "Itu tidak beri masalah.

"Kalau kita boleh bersaing di Malaysia kenapa kita tidak boleh bersaing di sini. Lagipun saya keluarkan cookies, mereka keluarkan biskut. Pasaran tidak sama," kata wanita yang telah mengeksport barangan syarikat beliau sejak empat tahun lepas ke negara-negara seperti Australia, Singapura dan Vietnam.

Noraini Cookies mempunyai kilang makanan di Subang Dua dengan kapasiti pengeluaran 20 hingga 25 kontena sebulan.

Wakil Samera Global Sdn Bhd yang berpangkalan di Pekan Meru, Klang, berkata beliau membawa minuman coklat dan kopi herba di CAEXPO untuk memperkenalkan jenama Samera yang kata beliau telah mendapat sambutan di Malaysia.

"Saya berterima kasih dengan MATRADE kerana membawa kami terbang ke China untuk pasaran yang meluas," katanya.

Beliau berkata pertama kali beliau datang ke China adalah dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Kalau dengan dibandingkan, yang sini lagi sesak. Yang dulu tak sama, yang sini, Alhamdulliah," kata beliau yang telahpun memohon untuk menyertai rombongan serupa pada masa akan datang ke Dubai dan Turki.

Dengan 146 peserta pameran terdiri daripada 16 agensi kerajaan, 128 syarikat and dua persatuan perdagangan, penyertaan Malaysia di CAEXPO tahun ini adalah yang terbesar sejak dimulakan pada 2004.

Sebahagian besar syarikat yang terlibat adalah pengeluar makanan dan minuman serta barangan kesihatan.

"Kopi paling laku," kata Rusniza Rosli, Pengarah Inhealth Beauty Sdn Bhd dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, yang turut mempromosi minuman sarang burung walit and rempenyek mini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment