Monday, 24 October 2011

Isu Sekatan Eksport Sarang Burung Walit Diselesaikan Dalam Masa Terdekat

Isu Sekatan Eksport Sarang Burung Walit Diselesaikan Dalam Masa Terdekat
BACHOK, 23 Okt (Bernama) -- Isu sekatan eksport sarang burung walit ke China akan diselesaikan dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perkembangan itu dijangka membolehkan kira-kira 50,000 pengusaha industri sarang burung walit menarik nafas lega.

Mustapa berkata China sedia berunding mengenai perkara itu, dan tidak timbul soal pengusaha tempatan akan gulung tikar disebabkan sekatan berkenaan.

"Kerajaan negara itu sudah memberi persetujuan untuk berunding bagi menyelesaikan masalah itu," katanya kepada pemberita selepas menutup Kempen Kesedaran Penggiat Pelancongan Kelantan di sini.

Beliau mengulas sekatan pengimportan sarang burung walit ke China atas alasan ia mempunyai kandungan nitrat yang tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbincang dengan rakan sejawatannya dari China Wen Jiabao mengenai sekatan itu ketika menghadiri Ekspo China-Asean 2011 di Nanning baru-baru ini.

Mustapa berkata Malaysia mengeksport sejumlah RM1.5 bilion produk berkenaan ke China setahun. Kelantan sahaja mempunyai 1,500 rumah sarang burung melibatkan 2,000 penternak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment