Thursday, 27 October 2011

Paras Kandungan Nitrat Dalam Sarang Burung Walit Ditetapkan Akhir November

Paras Kandungan Nitrat Dalam Sarang Burung Walit Ditetapkan Akhir November
PUTRAJAYA, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan menetapkan paras standard kandungan nitrat dalam sarang burung walit keluaran tempatan akhir bulan depan, bagi memastikan produk itu dapat dieksport terutama ke China.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya akan mendapatkan sampel yang menyeluruh daripada pengusaha sarang burung walit supaya penetapan standard kandungan nitrat dalam produk itu dapat dilakukan secepat mungkin.

"Walaupun kita sudah ada standard pada masa lepas tetapi ia untuk memastikan standard yang lebih menyeluruh termasuk juga kandungan nitrat bagi sarang burung walit dari gua, rumah dan sebagainya.

"Kita akan dapatkan standard ini untuk dimaklumkan kepada pihak China pada masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pengusaha sarang burung walit tempatan di pejabatnya di sini Khamis.

Sebelum ini, orang ramai keliru dengan produk sarang burung walit yang dihasilkan di negara ini, yang dikatakan tidak selamat dimakan kerana mengandungi bahan kimia berbahaya.

Kekeliruan itu timbul selepas kerajaan China mengumumkan produk sarang burung walit dari Malaysia mengandungi nitrat yang tinggi dan boleh mengancam kesihatan dan mereka kemudiannya menetapkan bahawa jika produk itu hendak dieksport ke China, kandungan nitratnya perlu kosong peratus.

Liow berkata sebelum ini, orang ramai keliru kerana beranggapan sekiranya terdapat kandungan nitrat dalam sarang burung walit, ia tidak boleh dimakan sedangkan bahan makanan lain seperti daging turut mempunyai kandungan bahan itu.

"Dengan kandungan nitrat yang dibenarkan, kita yakin memang selamat (sarang burung walit tempatan). Tetapi kalau melebihi (kandungan nitrat), kita akan ambil tindakan tegas menghalang penjualan sarang burung walit itu," katanya.

Beliau berkata selepas pihaknya menetapkan paras standard kandungan nitrat, garis panduan itu akan diserah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menguatkuasakan peraturan itu supaya pengusaha sarang burung walit mematuhinya.

Liow berkata beliau dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar akan mengadakan lawatan ke China awal bulan depan bagi menyakinkan kerajaan dan rakyat China bahawa produk sarang burung walit dari Malaysia berkualiti dan selamat.

Beliau berkata sepanjang berada di sana, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan China dan berdialog dengan pihak-pihak berkaitan di negara itu, tentang produk sarang burung walit keluaran tempatan.

"Saya akan pergi ke China untuk memberi keyakinan kepada penduduk China supaya mereka jangan risau tentang kualiti sarang burung walit dari Malaysia yang disahkan selamat dan berkualiti tinggi.

"Saya yakin kerajaan China akan memberikan kerjasama kepada kita kerana mereka juga bersetuju supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Liow berkata pihaknya juga akan menjemput pihak-pihak berkaitan dari China untuk datang ke Malaysia pada awal Disember ini, supaya masalah itu dapat diatasi dengan berkesan.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment